Enakmen FOI 2010 yang dibentangkan

1

RANG UNDANG-UNDANG

ENAKMEN KEBEBASAN MAKLUMAT
(NEGERI SELANGOR) 2010

______________

SUSUNAN FASAL
______________

BAHAGIAN I

PERMULAAN
Fasal

1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran

BAHAGIAN II

PEGAWAI MAKLUMAT

3. Pelantikan Pegawai Maklumat
4. Kawalan maklumat

BAHAGIAN III
AKSES KEPADA MAKLUMAT

5. Akses kepada maklumat
6. Permohonan untuk maklumat
7. Maklum balas permohonan
8. Penolakan permohonan
9. Rayuan kepada Lembaga Rayuan
10. Cara mengakses maklumat
11. Maklumat tiada dalam milikan
12. Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang
2

13. Maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga

BAHAGIAN IV

LEMBAGA RAYUAN

14. Lembaga Rayuan

BAHAGIAN V
AM
15. Kesalahan
16. Pendakwaan
17. Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peraturan-peraturan

3

RANG UNDANG-UNDANG

bernama

Suatu Enakmen bagi mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan
awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat
yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.

[     ]

DIPERBUAT oleh Badan Perundangan Negeri Selangor seperti yang berikut:

BAHAGIAN I

PERMULAAN

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Enakmen ini boleh dinamakan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri
Selangor) 2010.
(2)  Enakmen ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli
Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.
Tafsiran
2.     Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain

“dokumen” mempunyai erti yang sama seperti yang ditafsirkan di bawah Akta
Keterangan 1950 [Akta 56];
4

“jabatan” ertinya mana-mana jabatan Kerajaan Negeri;
“maklumat”  ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan
Kerajaan Negeri tetapi tidak termasuk dokumen –
(a) yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta
88];
(b) yang mengandungi maklumat yang diperolehi –
(i) daripada pihak ketiga dan menyampaikannya boleh menyebabkan
satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa;

(ii) secara rahsia daripada pihak ketiga dan ia mengandungi rahsia
perniagaan atau menyampaikannya mungkin, atau berkemungkinan
besar boleh, menjejaskan dengan teruk kepentingan komersil atau
kewangan pihak ketiga; atau

(iii) secara rahsia daripada negeri atau organisasi antarabangsa
yang lain, dan menyampaikannya mungkin, atau berkemungkinan
besar boleh, menjejaskan dengan teruk hubungan dengan negeri atau
organisasi antarabangsa tersebut;

(c) jika sekiranya dizahirkan mungkin, atau berkemungkinan besar boleh –
(i) menjejaskan dengan teruk perumusan atau pembangunan dasar
Kerajaan Negeri yang berkesan;

(ii) menggagalkan kejayaan sesuatu dasar Kerajaan Negeri dengan
serius, melalui pendedahan dasar itu sebelum sampai masanya;

(iii) menjejaskan dengan teruk pentadbiran mana-mana jabatan atau
Kerajaan Negeri;

(iv) menjejaskan dengan teruk pembangunan ekonomi atau keselamatan
Kerajaan Negeri;

(v) secara ketaranya menjejaskan proses timbangtelitian mana-mana
jabatan dengan menghalang penyediaan nasihat atau pertukaran
pendapat yang bebas dan berterus terang; atau

(vi) secara ketaranya menjejaskan keberkesanan tatacara pengujian atau
pengauditan yang digunakan oleh mana-mana jabatan; atau

5

(d) apa-apa dokumen lain yang boleh ditetapkan, dari semasa ke semasa, oleh
Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.
“Pegawai Maklumat” ertinya mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen
3 Enakmen ini.
BAHAGIAN II
PEGAWAI MAKLUMAT

Pelantikan Pegawai Maklumat
3.  (1)   Pihak Berkuasa Negeri bolehlah melalui Warta melantik Pegawai
Maklumat bagi setiap jabatan.
(2)   Pegawai Maklumat hendaklah, sebagai tambahan kepada tanggungjawab
khusus yang diperuntukkan dalam seksyen lain Enakmen ini, mempunyai
tanggungjawab berikut:
(a)  untuk mempertingkatkan  amalan yang terbaik berkaitan dengan
penjagaan, penyimpanan dan pelupusan maklumat di dalam jabatan;
(b)  untuk mengadakan latihan kepada jabatan berkenaan dengan
penjagaan, penyimpanan dan pengurusan permohonan maklumat; dan
(c)  untuk berkhidmat sebagai perantara bagi jabatan dalam menerima
permohonan dan membantu individu untuk mendapatkan maklumat.
Kawalan Maklumat
4. (1) Setiap jabatan adalah mempunyai kawalan ke atas semua maklumat yang
dibuat oleh setiap jabatan.
(2)  Setiap Pegawai Maklumat adalah berkewajipan untuk menjaga maklumat
di bawah kawalannya selaras dengan arahan dan garis panduan yang sedang berkuat
kuasa.

6

BAHAGIAN III

AKSES KEPADA MAKLUMAT
Akses kepada maklumat
5. (1) Mana-mana orang boleh diberikan akses kepada maklumat yang dibuat
oleh jabatan.
(2) Jika maklumat yang hendak diakses oleh mana-mana orang terkandung
dalam suatu dokumen yang penzahirannya tertakluk kepada mana-mana undang-
undang bertulis, akses kepada maklumat itu adalah tertakluk kepada undang-undang
bertulis itu.
Permohonan untuk maklumat
6. (1) Mana-mana orang yang memohon untuk mengakses maklumat hendaklah
membuat permohonan kepada jabatan dengan menggunakan borang yang ditetapkan
oleh Pihak Berkuasa Negeri.
(2) Permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah–
(a) dialamatkan kepada Pegawai Maklumat;
(b) menyatakan nama dan alamat surat-menyurat pemohon;
(c) menerangkan maklumat yang dipohon; dan
(d)  menyatakan alasan dan tujuan permohonan.
(3) Setiap permohonan hendaklah disertakan dengan bayaran fi yang
ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
(4) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1) dan (2), mana-mana orang
yang tidak berupaya disebabkan oleh buta huruf atau ketidakupayaan, boleh
membuat permohonan secara lisan dan Pegawai Maklumat yang menerima
permohonan lisan hendaklah, menjadikannya bertulis dan memberikan sesalinan
borang permohonan itu kepada pemohon.
(5) Pegawai Maklumat yang menerima permohonan hendaklah mengaku
terima permohonan tersebut dan memberikan sesalinan akuan terima kepada
pemohon.
7

Maklum balas permohonan
7. (1) Setiap jabatan berkenaan hendaklah memberi maklum balas kepada
permohonan yang dibuat di bawah seksyen 6 dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari
tarikh akuan terima permohonan tersebut.
(2) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), apa-apa permohonan untuk
mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan nyawa atau kebebasan seseorang
individu, maklum balas hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh
akuan terima permohonan tersebut.
(3)  Sekiranya tiada maklum balas seperti yang ditetapkan dalam subseksyen
(1) dan (2), permohonan tersebut hendaklah dianggap sebagai ditolak.
(4) Akses kepada maklumat hendaklah diberikan apabila —
(a) suatu permohonan  untuk mengakses maklumat telah diluluskan;
dan
(b)  fi  di bawah subseksyen 6(3) telah dijelaskan.
Penolakan permohonan
8. (1) Permohonan untuk mengakses maklumat boleh ditolak oleh jabatan
apabila —
(a) pemohon tidak berhak untuk mengakses maklumat; atau
(b) maklumat yang dipohon tidak wujud atau bukan di bawah kawalan
jabatan.
(2) Apabila permohonan untuk mengakses maklumat ditolak di bawah
subseksyen (1), Pegawai Maklumat hendaklah memaklumkan kepada pemohon
berkenaan penolakan tersebut dan hendaklah –
(a) menyatakan alasan penolakan permohonan; dan
(b)  menyatakan nama Pegawai Maklumat yang membuat keputusan.
Rayuan kepada Lembaga Rayuan
9.   Mana-mana pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pegawai
Maklumat hendaklah, dalam tempoh dua puluh satu (21) hari selepas dari tarikh
8

penerimaan notis memaklumkan keputusan di bawah subseksyen 8(2), merayu
terhadap keputusan tersebut kepada Lembaga Rayuan dengan mengemukakan
representasi bertulis.
Cara akses kepada maklumat
10. (1) Akses kepada maklumat bolehlah dengan cara berikut:
(a)  di dalam situasi di mana maklumat adalah artikel atau apa-apa
bahan bunyi atau imej visual yang boleh dihasilkan semula, satu
temu janji boleh dibuat bagi membolehkan pemohon melihat atau
mendengar bunyi atau imej visual tersebut; atau
(b)  di dalam situasi di mana maklumat  adalah perkataan dalam
bentuk rakaman yang boleh dihasilkan semula kepada bentuk
bunyi atau perkataan dalam bentuk tulisan trengkas atau kod,
jabatan bolehlah menyediakan semula maklumat tersebut dalam
bentuk salinan bertulis.
(2) Akses kepada maklumat bolehlah diberikan dalam bentuk atau cara yang
paling praktikal oleh jabatan, tertakluk kepada bentuk maklumat itu sendiri.
(3) Jika akses kepada maklumat yang dipohon oleh pemohon –
(a)  secara tidak munasabah akan mengganggu operasi jabatan;
(b)  menjejaskan pemeliharaan terhadap maklumat atau, setelah
mengambil kira fizikal semula jadi maklumat tersebut adalah
tidak sesuai; atau
(c)  melibatkan pelanggaran hak cipta (selain daripada hak cipta
kepunyaan Kerajaan Negeri) yang terkandung dalam maklumat
tersebut,
akses tersebut boleh ditolak dan akses dalam bentuk lain boleh diberikan tertakluk
kepada subseksyen (2).
(4) Mana-mana orang yang tidak berupaya disebabkan oleh buta huruf
atau ketidakupayaan, untuk mengakses maklumat di dalam bentuk di mana ia di
simpan atau disalin, hendaklah diberi pilihan untuk maklumat disampaikan
kepadanya dalam bentuk pilihan lain yang boleh diakses olehnya.

9

Maklumat tiada dalam milikan
11. Mana-mana Pegawai Maklumat yang menerima permohonan dan mendapati
bahawa maklumat yang dipohon tiada dalam simpanan jabatan, Pegawai Maklumat
itu hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada pemohon secara bertulis.
Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah  atau berulang
12. Setiap jabatan tidak perlu memenuhi permohonan yang menyusahkan, tidak
munasabah atau permohonan sama dari orang yang sama yang telah pun dipenuhi.
Maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga
13. (1)  Setiap jabatan boleh untuk enggan menunjukkan sama ada ia mempunyai
maklumat, atau enggan untuk menyampaikan maklumat, di mana jika berbuat
demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi orang
perseorangan pihak ketiga.
(2)   Subseksyen (1) tidak terpakai jika —
(a) pihak ketiga telah memberi persetujuan secara bertulis terhadap
penzahiran maklumat; atau
(b)  orang yang membuat permintaan adalah penjaga yang sah kepada
pihak ketiga atau waris yang sah atau pentadbir yang sah pihak
ketiga yang telah meninggal dunia.

BAHAGIAN IV

LEMBAGA RAYUAN

Lembaga Rayuan
14.  (1)  Bagi maksud Enakmen ini, hendaklah ditubuhkan suatu Lembaga
Rayuan.
(2)   Pihak Berkuasa Negeri hendaklah, melalui pemberitahuan dalam Warta
Negeri, melantik—
(a)  seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi bagi Lembaga
Rayuan itu, iaitu bekas hakim atau peguam bela dan peguam cara
Mahkamah Tinggi atau bekas anggota Perkhidmatan Kehakiman dan
10

Perundangan Malaysia atau yang berpengalaman dari segi
kehakiman atau kelayakan dan pengalaman sesuai yang lain; dan

(b) beberapa orang yang layak, tidak melebihi enam orang, yang
difikirkan memadai oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk menjadi ahli
tambahan Lembaga Rayuan itu.

(3)  Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah, memegang
jawatan selama suatu tempoh tidak melebihi tiga(3) tahun yang hendaklah ditentukan
oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam pemberitahuan pelantikan itu, tetapi layak
dilantik semula.

(4)  Pihak Berkuasa Negeri boleh membatalkan pelantikan seseorang ahli
Lembaga Rayuan tanpa memberi apa-apa sebab.

(5)  Apabila Pengerusi tidak dapat menjalankan fungsinya oleh sebab sakit,
tidak berada di Malaysia, atau oleh apa-apa sebab lain, Timbalan Pengerusi
hendaklah menjalankan fungsi Pengerusi itu; dan pada menjalankan fungsi itu,
Timbalan Pengerusi hendaklah, bagi maksud Enakmen ini, disifatkan sebagai
Pengerusi Lembaga Rayuan itu.

(6)  Bila mana timbul suatu keperluan untuk memanggil Lembaga Rayuan
bermesyuarat, Pengerusi hendaklah meminta mana-mana dua orang daripada ahli
yang dilantik di bawah perenggan (2)(b) supaya berkhidmat dengannya dalam
Lembaga Rayuan itu; dan menjadi kewajipan tiap-tiap ahli yang diminta sedemikian,
berkhidmat dalam Lembaga Rayuan, melainkan jika dia dikecualikan oleh Pengerusi,
atas alasan yang difikirkan munasabah oleh Pengerusi, daripada berkhidmat
sedemikian.

(7)   Seseorang ahli Lembaga Rayuan yang mempunyai sesuatu kepentingan
dalam apa-apa perkara yang ada di hadapan Lembaga Rayuan hendaklah, sebaik
sahaja dia sedar akan kepentingannya, menzahirkan fakta dan jenis kepentingan itu
kepada Pengerusi dan tidak boleh mengambil bahagian atau bahagian selanjutnya
dalam prosiding Lembaga Rayuan itu yang berhubungan dengan perkara itu.

(8)   Tiap-tiap penzahiran kepentingan yang dibuat di bawah subseksyen (7)
hendaklah direkodkan.

(9)   Tiap-tiap keputusan Lembaga Rayuan hendaklah dibuat oleh Pengerusi
setelah menimbangkan pendapat dua orang ahli yang lain itu, tetapi dalam membuat
keputusan itu Pengerusi tidak terikat untuk bersetuju dengan pendapat dua orang ahli
yang lain itu atau salah seorang daripada mereka, tetapi jika Pengerusi tidak
bersetuju dengannya, dia hendaklah merekodkan sebab dia tidak bersetuju.

(10)  Berkenaan dengan sesuatu rayuan di hadapannya, Lembaga Rayuan—
11

(a)   hendaklah mendengar perayu dan Pegawai Maklumat;

(b)   boleh memanggil dan memeriksa saksi;

(c)   boleh menghendaki mana-mana orang mengikat dirinya atas
sumpah  untuk menyatakan yang benar;

(d)   boleh memaksa pengemukaan dan penghantar serahan apa-apa
dokumen yang difikirkan berkaitan atau material olehnya bagi
rayuan itu tetapi tidak boleh termasuk dokumen yang ditolak
oleh Pegawai Maklumat berkenaan;

(e)  boleh mengesahkan, mengubah atau mengakas perintah atau
keputusan yang dirayu; dan

(f)  boleh membuat apa-apa perintah sama ada yang
diperuntukkan atau tidak oleh, dan yang selaras dengan
Enakmen ini.

(11) Tiap-tiap orang yang dipanggil oleh Lembaga Rayuan untuk menghadiri
prosiding diwajibkan untuk hadir di tempat dan pada masa yang ditentukan dalam
saman itu dan tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh Lembaga Rayuan untuk
mengemukakan atau menghantar serah apa-apa dokumen kepadanya atau kepada
mana-mana pekhidmat awam diwajibkan untuk mengemukakan atau menghantar
serah dokumen sedemikian.
(12)  Semua saman, notis dan perintah yang dikeluarkan, dibuat, atau diberi di
bawah tandatangan Pengerusi hendaklah disifatkan sebagai dikeluarkan, dibuat, atau
diberikan oleh Lembaga Rayuan.
(13) Sesuatu perintah yang dibuat oleh Lembaga Rayuan atas suatu rayuan di
hadapannya adalah muktamad, tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana
mahkamah, dan hendaklah mengikat semua pihak kepada rayuan itu atau yang
terlibat dalam perkara itu.
(14) Bagi maksud Kanun Keseksaan [Akta 574], Lembaga Rayuan
hendaklah disifatkan sebagai suatu mahkamah dan tiap-tiap ahlinya hendaklah
disifatkan sebagai pekhidmat awam.
(15) Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat kaedah-kaedah untuk menetapkan
tatacara rayuan kepada Lembaga Rayuan dan fi yang kena dibayar berkenaan
dengannya, dan mengawal selia prosiding Lembaga Rayuan.
12

(16) Ahli Lembaga Rayuan hendaklah dibayar, daripada Kumpulan Wang
Disatukan Negeri, elaun yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
BAHAGIAN V
AM
Kesalahan
15. (1) Adalah menjadi suatu kesalahan jika seseorang itu —
(a) menggunakan maklumat yang diperolehi di bawah Enakmen
ini bertentangan dengan alasan dan tujuan permohonan dibuat;
atau
(b) memberikan maklumat palsu dalam borang permohonan di
bawah subseksyen 6(1).
(2) Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1)
apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan tidak
melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan
16. Tiada pendakwaan boleh dimulakan bagi kesalahan di bawah subseksyen
15(1) tanpa keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya.
Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peraturan-peraturan
17. (1) Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat apa-apa peraturan yang difikirkan
perlu atau wajar bagi maksud melaksanakan peruntukan Enakmen ini.
(2) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), peraturan boleh dibuat bagi
kesemua atau mana-mana maksud yang berikut:
(a) menetapkan borang dan fi bagi maksud Enakmen ini;
(b) menetapkan tanggungjawab Pegawai Maklumat; dan
(c) peraturan lain yang difikirkan wajar dan patut oleh Pihak Berkuasa
Negeri.

13

______________
HURAIAN
Rang Undang-Undang ini bertujuan mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi
kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses
kepada maklumat  yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.

BAHAGIAN I
2. Bahagian I Rang Undang-Undang ini memperkatakan perkara permulaan.
3. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan kuasa Duli Yang Maha Mulia untuk
menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan.
4. Fasal 2 mentakrifkan perkataan dan ungkapan tertentu yang digunakan dalam
Enakmen yang dicadangkan.
BAHAGIAN II
5. Bahagian II Rang Undang-Undang ini memperkatakan perkara berhubung
dengan pelantikan dan tanggungjawab Pegawai Maklumat.
6. Fasal 3 memperkatakan mengenai pelantikan Pegawai Maklumat oleh setiap
jabatan.  Fasal ini juga memperuntukkan tanggungjawab tambahan Pegawai
Maklumat.
7. Fasal 4 memperkatakan mengenai kawalan jabatan ke atas maklumat dan juga
kewajipan Pegawai Maklumat untuk menjaga maklumat yang berada di bawah
kawalannya.
BAHAGIAN III
8. Bahagian III Rang Undang-Undang ini menyatakan peruntukan yang
berhubungan dengan akses kepada maklumat.
9. Fasal 5 memperkatakan mengenai akses kepada maklumat di bawah kawalan
jabatan dan sekiranya penzahiran dokumen yang mengandungi maklumat tersebut
tertakluk kepada undang-undang bertulis, peluang orang itu untuk mendapatkan
akses adalah juga tertakluk kepada undang-undang tersebut.
10. Fasal 6 memperkatakan mengenai permohonan hendaklah dalam borang yang
ditetapkan dan maklumat yang dikehendaki diisi dalam borang tersebut. Permohonan
14

lisan boleh dibuat oleh orang yang buta huruf atau tidak berkeupayaan dan Pegawai
Maklumat hendaklah menjadikannya bertulis dan membuat akuan penerimaan
permohonan tersebut dan memberikan sesalinan borang permohonan kepada
pemohon.
11. Fasal 7 memperkatakan mengenai maklum balas permohonan yang hendaklah
dibuat oleh jabatan dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh akuan terima
permohonan tersebut. Sekiranya melibatkan nyawa atau kebebasan seseorang,
maklum balas hendaklah diberikan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh akuan
terima permohonan tersebut. Sekiranya tiada maklum balas, permohonan hendaklah
dianggap sebagai ditolak. Akses kepada maklumat akan diberikan selepas
permohonan telah diluluskan dan fi telah pun dibayar.
12. Fasal 8 memperkatakan mengenai penolakan permohonan apabila pemohon
tidak berhak untuk mengakses maklumat tersebut dan maklumat tidak wujud atau
tidak berada dalam kawalan jabatan. Penolakan hendaklah dimaklumkan kepada
pemohon bersama-sama dengan alasan penolakan dan nama Pegawai Maklumat
yang membuat keputusan.
13. Fasal 9 memperkatakan mengenai rayuan kepada Lembaga Rayuan yang
hendaklah dalam tempoh dua puluh satu (21) hari selepas tarikh penerimaan notis
memaklumkan keputusan. Rayuan hendaklah dibuat dengan mengemukakan
representasi bertulis.
14.  Fasal 10 memperkatakan mengenai cara akses kepada maklumat.
15.   Fasal 11 memperkatakan mengenai maklumat yang tiada dalam simpanan
jabatan dan Pegawai Maklumat hendaklah memaklumkan mengenainya kepada
pemohon.
16. Fasal 12 memperkatakan mengenai permohonan yang menyusahkan, tidak
munasabah atau berulang dan jabatan tidak dikehendaki memenuhi permohonan
tersebut.
17. Fasal 13 memperkatakan jabatan boleh menolak permohonan penzahiran yang
tidak munasabah maklumat termasuk maklumat peribadi pihak ketiga dan
pengecualiannya.
BAHAGIAN IV
18. Bahagian IV Rang Undang-Undang ini menyatakan peruntukan berkenaan
dengan Lembaga Rayuan.
15

19. Fasal 14 memperkatakan mengenai penubuhan Lembaga Rayuan serta kuasa
Lembaga Rayuan untuk mendengar rayuan dari pemohon. Selanjutnya, apa-apa
perintah yang dibuat oleh Lembaga Rayuan adalah muktamad, tidak boleh
dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah dan hendaklah mengikat semua pihak
yang terlibat dalam rayuan tersebut. Elaun ahli Lembaga Rayuan akan ditetapkan
oleh Pihak Berkuasa Negeri dan hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang
Disatukan Negeri.
20. Bahagian V Rang Undang-Undang ini menyatakan peruntukan am Enakmen
yang dicadangkan.
21. Fasal 15 memperkatakan mengenai kesalahan dan hukuman.
22. Fasal  16 memperkatakan mengenai pendakwaan yang tidak boleh dimulakan
tanpa keizinan secara bertulis Pendakwa Raya.
23. Fasal 17 memperkatakan mengenai kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk
membuat peraturan-peraturan bagi maksud melaksanakan peruntukan Enakmen yang
dicadangkan.

IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-Undang ini akan melibatkan Kerajaan Negeri dalam perbelanjaan
wang tambahan yang amaunnya tidak dapat ditentukan sekarang ini.

SHAH ALAM
Bertarikh  30 Jun 2010
[PU.SEL.AM0063/10/AA]

DATIN PADUKA ZAUYAH BE BINTI T. LOTH KHAN
Penasihat Undang-Undang Negeri
Selangor

Leave a comment